Seorang lelaki Jepun, Hidekichi Miyazaki berjaya mencatat rekod Guinness sebagai pelari pecut kompetitif yang tertua di dunia, Rabu lalu sehari selepas beliau menyambut ulang tahun kelahiran ke- 105.
Memetik beberapa laporan antarabangsa, Miyazaki dilapor mencatat masa 42.22 saat dalam acara 100m di Perlawanan Kyoto Masters Athletics Autumn pada Rabu lepas. Bagaimanapun, Miyazaki tidak begitu puas hati dengan kepantasannya kerana beliau mencatat masa 36 saat ketika sesi latihan.
Menurut Rekod Dunia Guinness, Miyazaki yang dilahirkan pada 22 September 1910 mula bergiat aktif dalam acara larian hanya selepas beliau memasuki alam 90-an.
Miyazaki dikenali sebagai "Golden Bolt" kerana sering meraih kemenangan dengan menyerupai gaya pemenang pingat emas Olimpik, Usain Bolt.Beliau juga dikatakan sedang menunggu peluang untuk mencabar lelaki terpantas di dunia itu.
"Saya ingin bersaing dengannya," kata Miyazaki yang dipetik dari portal India Times.
Menurut Mizayaki, rahsia kejayaan beliau adalah bersenam setiap hari, makan secara sederhana dan mengunyah makanan dengan baik.
"Semua pakar perubatan terkejut. Perkara ini boleh dilakukan jika kesihatan berada pada tahap yang baik," katanya kepada pemberita.
Jepun pada Isnin lalu menandakan hari "Respect for the Aged”.
Menurut laporan yang dikeluarkan oleh Kementerian Dalam Negeri Jepun, buat kali pertama, bilangan warga Jepun yang berusia lebih dari 80 tahun mencatat 10 juta, di mana 60 ribu rakyat dilapor berusia lebih dari 100 tahun.
0 comments:
Post a Comment