Saya ada 16 orang adik beradik, seibu, sebapa. Anak pertama hingga anak ke-11, semuanya lelaki. Anak ke-12 sehingga ke-16, semuanya perempuan.
Kita sekarang, kalau beranak lima sederet lelaki dah rasa frust. Ini mak saya, tabahnya dia sampai 11 anak lelaki. Relaks saja. Susah nak jumpa keluarga yang ada adik beradik 1 hingga 11 yang sama jantina. Boleh masuk Malaysia Book of Record ini. Dan 1 hingga 16 semua masuk universiti. Ini pun boleh masuk rekod rasanya. (Haha).
Pada tahun 1991, semasa ibu mengandungkan anak yang ke-16, ayah diserang strok dan lumpuh. Hilang sumber pendapatan. Tiada simpanan sebab hidup pun cukup-cukup makan saja. Pihak masjid bagi wang ehsan setiap bulan hanya RM150. Ibu membesarkan kami dan dalam masa yang sama menguruskan ayah yang lumpuh dengan wang RM150 itu. Macam mana boleh survive? Itu semua kerja Allah, semua rezeki dari Allah.
(وَلَا تَقْتُلُوا أَوْلَادَكُمْ خَشْيَةَ إِمْلَاقٍ ۖ نَحْنُ نَرْزُقُهُمْ وَإِيَّاكُمْ ۚ إِنَّ قَتْلَهُمْ كَانَ خِطْئًا كَبِيرًا)
Dan janganlah kamu membunuh anak-anak kamu kerana takutkan kepapaan; KAMILAH YANG MEMBERI REZEKI KEPADA MEREKA (anak2) DAN KEPADA KAMU (ibubapa). Sesungguhnya perbuatan membunuh mereka adalah satu kesalahan yang besar
[Surat Al-Isra 31]
Allah beri rezeki kepada anak-anak dalam bentuk kesedaran untuk berdikari. Walaupun masih bersekolah rendah, kami sudah mula mencari duit sendiri. Jadi buruh sementara, kutip botol dan tin aluminium untuk dijual, bercucuk tanam dan lain-lain. Pada tahun 2001, ketika di tingkatan 4, saya masih mengutip kayu api untuk masak. Ada parut kena parang pada tahun 2001 di tangan kiri.
Makanan kami juga tidak semewah orang lain. Makan nasi tanpa lauk sudah menjadi kebiasaan. Sekadar nasi campur air, garam dan sedikit gula sudah memadai. Mujur di sekolah ada rancangan makanan tambahan. Dapatlah kami merasa makanan yang sedap secara berterusan.
Walaupun keadaan hidup agak susah, tidak pernah sekali pun ibu berhenti berjuang mahupun mengaku kalah dalam membesarkan anak-anaknya. Ibu juga tidak berkeluh-kesah di hadapan anak-anak biarpun beberapa kali saya melihat ibu menangis mungkin kerana terlalu penat menanggung keperitan hidup. Kami anak-anak yang masih kecil ketika itu hanya boleh menahan sedih melihat keadaan ibu.
Ketika itu memang tiada banyak yang kami dapat membantu. Malah untuk mengangkat ayah yang lumpur untuk dimandikan juga agak sukar. Mujur abang-abang di sekolah menengah banyak membantu dengan penuh kesabaran. Tetapi apabila mereka masuk ke universiti, tinggal kami yang kecil-kecil saja di rumah.
Sehingga tahun 2001, kami masih memasak menggunakan dapur kayu api. Bukan tidak ada dapur gas tetapi mahu berjimat wang dari membeli gas. Kalau bekalan kayu api berkurangan, kami adik beradik akan masuk ke hutan mencari kayu api. Ketika itu, tiada lagi orang kampung yang mengutip kayu api, hanya kami sekeluarga sahaja.
Ibu pula memegang prinsip tidak mahu berhutang duit orang. Hidup dengan sekadar apa yang ada. Alhamdulillah, beban ibu sedikit ringan apabila abang-abang di universiti mengirimkan duit biasiswa masing-masing untuk adik-adik di kampung. Pernah abang saya cerita, dia sanggup ikat perut semata-mata untuk hantar duit ke kampung.
Sepanjang ingatan saya semasa ayah masih hidup dan sihat, dia tidak pernah bertanya tentang pencapaian pelajaran anak-anak. Tetapi ayah selalu tanya tentang solat berjemaah di masjid atau tak. Arwah ayah selalu berpesan, “Tiada guna belajar tinggi dan pangkat tinggi tapi solat jemaah tidak dijaga,”.
Arwah ayah memang sangat menekankan pendidikan agama dan praktikalnya.
Walaupun kami masih bersekolah dan sangat sibuk dengan mencari duit tetapi kami tetap ke masjid solat jemaah. Kami cuma dapat belajar ketika di sekolah sahaja kerana di rumah kami sibuk dengan kerja dan mengasuh adik-adik yang masih bayi. Namun syukur semuanya kini cemerlang dalam pelajaran.
Pesanan kepada ibu bapa, bagi mendapat keluarga yang bahagia dia dunia dan akhirat, berilah penekanan pada pendidikan agama terutamanya solat. Anak-anak lelaki mesti dibiasakan dengan solat jemaah.
Sekarang, bila tengok orang kutip tin dan botol di tepi jalan, saya teringat dengan keadaan saya dulu. – Mohd Yazid Ismail
0 comments:
Post a Comment