Akhirnya!! Shah Iskandar Dan Sarah Nikah Awal Tahun Depan


Pelakon kelahiran Singapura yang mencari rezeki di Malaysia, Shah Iskandar bakal menamatkan zaman bujangnya dengan cinta hatinya, Siti Sarah Mohd Noor.

Hal itu disahkan sendiri Shah kepada BH Online sebentar tadi ekoran gambar yang dimuat naik beliau bersama Sarah di laman Instagram enam hari lalu di ketika berkunjung ke Registry Of Muslim Marriage (ROMM).

Shah dan Sarah ke sana kerana mendapatkan maklumat serba sedikit mengenai apa yang perlu dilakukan sebelum mereka berkahwin termasuklah hal membabitkan kursus kahwin nanti. Menurut Shah, mereka kenal sejak dua tahun lalu dan mula intim kebelakangan ini. Sekian lama begitu perahsia mengenai kisah peribadinya, akhirnya Shah kerap memuat naik gambar dia dan kekasih di laman Instagram.


Shah berkata, berbunga cinta sedang mekar dan dia juga sudah bersedia untuk memikul tanggung jawab sebagai suami kepada Sarah, ahli perniagaan yang berasal dari utara, Kulim, Kedah. "Insya-Allah kami akan berkahwin awal tahun hadapan. Kami akan pergi kursus kahwin di Singapura tak lama lagi," katanya menamatkan persoalan yang terbuku.

Selama berkawan, Shah memilih untuk tidak menggembar-gemburkan hubungan mereka. Baginya ketika itu semua belum pasti dan masih di peringkat berkenalan, jadi dia mengambil jalan selamat untuk bersikap tidak terlalu menunjuk-nunjuk.

"Cuma selepas makin kenal diri masing-masing dan bertemu keluarga, kami jadi lebih rapat. Umur saya pun makin meningkat. Saya sudah 33 tahun, dia pula 30 tahun. Saya kenal dia pun melalui kakaknya. Ketika itu, kakaknya menyuruh saya membuat ulasan dan promosi produk di laman Instagram.

"Kami bertemu di The Curve, Kota Damansara. Kami berjumpa dan berkenalan. Dia pun ramai peminat sebenarnya. Saya salah seorang peminatnya," usik Shah Iskandar. Ditanya apa yang membuatkan Shah tertarik hati dengan Sarah, aktor kacak itu memberitahu dia melihat masa hadapannya bersama dengan Sarah. Shah turut membenarkan BH Online menemubual Sarah yang kebetulan berada dengannya.

Sarah menyifatkan Shah seorang yang periang dan kelakar. Sarah menjalankan perniagaan produk kecantikan dan kesihatan. "Dari mula berkawan, kami cepat jadi serasi dan ngam. Sebelum ini saya tak berminat untuk ada kekasih. 10 tahun juga saya hidup tanpa cinta. Tapi dengan Shah mungkin juga saya terbuka hati untuk menerimanya.

Daripada kawan, lama-lama terbit rasa sayang. Dia memang lelaki yang baik. Lepas kami membuat keputusan nak kahwin, dia punya 'sweet' itu lagi lain macam. "Sebelum ini tak ada kekasih pun, saya banyak habiskan masa dengan kawan dan adik beradik. Saya tak terdesak cari kekasih. Masa kenal Shah, saya tahu dia artis. Malah ada menonton cerita lakonannya. Pendek kata, kalau ada dengannya, ...dia boleh buat saya gembira dan bahagia. Insya-Allah," katanya.

Share on Google Plus

About Unknown

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Post a Comment